AKTOR berusia 25 tahun ini mengaku belum stabil. Itu tutur Zulkifli Ariffin ketika berbicara tentang kehidupannya kini. Namun, dalam masih merancang hidupnya agar lebih stabil, dia mengaku sedang serius dalam segala aspek kehidupan termasuk, cinta.
“Banyak yang perlu dikejar. Saya mahu diiktiraf sebagai pelakon dan meletakkan lima tahun lagi untuk kerja keras itu.
“Usia 25 tahun, usia serius. Saya tidak mahu berleka-leka lagi. Saya jaga disiplin,” ujarnya yang mengaku serius dalam perhubungan cinta tiga tahun bersama Abby Abadi.
Muncul kali pertama melalui drama Apa Itu Cinta (2008) dan mengenali Abby buat kali pertama di set yang sama, kini misi jejaka yang mesra disapa Zul itu mahu meletakkan dirinya sebagai pelakon yang komited terhadap perjalanan kariernya.
Terbaru, kemunculannya dalam telefilem Sayang Abah arahan Michael Ang mendapat respons positif. Rata-rata memberi rebiu bersih tentang lakonan ini. Melanjutkan visinya, Zul muncul setiap minggu kini dalam drama Hilang bersama Rozita Che Wan menerusi setiap Isnin dan Selasa bermula 5 Julai 2011 di saluran TV9 pukul 8.45 malam.
“Dalam drama tersebut saya melakonkan watak Hazrul, suami kepada Rozita. Perjalanan kekeluargaannya normal hinggalah isteri saya masuk ke wad psikiatri dan saya terpaksa kahwin dengan sepupu isteri saya, lakonan Ayu Raudhah,” ujarnya.
Disentuh perihal kematangan dan keberadaan dalam bidang lakonan, Zul mengaku tawaran masih belum kencang namun dirinya sudah diketahui umum.
“Saya sudah mendapat watak-watak yang besar dan mantap,” luah Zul yang terlibat dengan drama Gerak Khas selama dua tahun lebih.
Tuturnya dia sanggup mengecilkan badan jika diberi ruang dan masa untuk membina sebuah karakter.
“Saya sanggup kuruskan badan kalau diberi masa malah tidak kisah kalau perlu berwajah hodoh dalam lakonan. Kalau ada yang bagi komentar apa yang dilihat dalam lakonan jauh daripada diri sebenar, saya gembira,” ujar Zul yang bakal terlibat dalam drama Moreh .
Sentuh hal layar cinta, ucap Zul dia cukup serius namun tidak meletakkan sebarang rangka masa untuk perkahwinan.
“Klise kalau saya kata, ada jodoh adalah tetapi hidup ini bukan sekadar kahwin dan dapat anak. Kahwin itu adalah bahagian kehidupan,” ujarnya yang bersedia memikul tanggungjawab ‘ayah’ kepada anak-anak Abby kelak.
No comments:
Post a Comment